KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan perubahan jadual operasi tren terakhir bagi Laluan Putrajaya MRT pada 7 dan 8 Mac ini bagi mempercepatkan kerja pembaikan infrastruktur.
Menurut kenyataan syarikat itu, perubahan jadual berkenaan dibuat susulan insiden kerosakan kabel bekalan kuasa yang menjejaskan operasi perkhidmatan sejak 3 Mac lalu.
“Sejak insiden itu dikesan, pasukan teknikal telah digerakkan sepenuhnya bagi melaksanakan kerja pembaikan infrastruktur yang terjejas bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan secara selamat dan stabil,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Rapid Rail menjelaskan tempoh kerja kejuruteraan pada waktu malam bagi Sabtu dan Ahad akan dipanjangkan bagi memberi ruang kepada pasukan teknikal menjalankan pemasangan semula kabel, pengujian sistem serta pemeriksaan keselamatan.
Susulan itu, tren terakhir dari Putrajaya Sentral menuju ke Kwasa Damansara MRT Station akan ditamatkan di Metro Prima MRT Station.
Bagi 7 Mac, tren terakhir dari Putrajaya Sentral ialah pada pukul 11.35 malam, manakala pada 8 Mac tren terakhir ialah pada pukul 11.05 malam.
“Bagi memastikan perjalanan penumpang tidak terjejas, Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Stesen Metro Prima ke stesen seterusnya hingga Kwasa Damansara dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit.” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu, penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Kwasa Damansara juga boleh menggunakan MRT Kajang Line sebagai laluan alternatif.
Rapid Rail memaklumkan perubahan ini hanya melibatkan tren terakhir dari Putrajaya Sentral ke arah Kwasa Damansara, manakala perkhidmatan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral kekal beroperasi seperti biasa.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.








