Oleh: Tyah Helmi
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran kepada Iran bahawa pihaknya akan mencampuri urusan negara itu sekiranya pihak berkuasa Iran masih lagi bertindak ganas sehingga mengorbankan nyawa penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman di jalanan.
Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump dalam nada tegas berkata AS kini bersiap-siaga sepenuhnya dengan ketenteraan aset negara itu untuk menghalang Iran daripada melakukan keganasan terhadap rakyat Ira yang berterusan.
Kenyataan itu hadir ketika Iran bergelut dengan gelombang protes terbesar dalam tempoh tiga tahun, yang tercetus akibat tekanan ekonomi semakin menghimpit kehidupan rakyat.
Beberapa laporan mengesahkan kematian berlaku apabila demonstrasi aman bertukar ganas di beberapa wilayah, susulan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Protes berkenaan bermula pada Ahad lalu apabila peniaga kecil dan pemilik kedai turun ke jalanan membantah pengendalian kerajaan terhadap kejatuhan mendadak nilai mata wang negara serta lonjakan harga barangan asas, yang semakin menekan rakyat biasa.
Situasi itu menandakan peningkatan ketara ketegangan dalaman di Iran, dengan kemarahan awam dilihat semakin meluas dan sukar dibendung.
Ekonomi Iran sendiri telah lama dalam keadaan rapuh sejak AS mengenakan semula sekatan pada 2018, selepas Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear antarabangsa ketika penggal pertamanya sebagai presiden. Sekatan itu terus memberi kesan besar kepada kos sara hidup rakyat, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati yang kini memuncak di jalanan.
Di tengah kekacauan itu, nasib rakyat biasa Iran kekal menjadi tumpuan dunia, apabila komuniti antarabangsa memerhati rapat sama ada krisis ini akan berakhir di meja rundingan atau terus berdarah di jalanan.
Baca juga:








