Trump beku aset, larang perjalanan pegawai ICC
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif pada Khamis yang memberi kuasa untuk mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Tindakan tersebut diambil susulan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap sekutu Trump, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menurut kenyataan White House, lapor BBC.
Perintah Trump ini ditandatangani dua hari selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Netanyahu.
Trump turut mengarahkan pembekuan aset serta larangan perjalanan terhadap pegawai, kakitangan dan ahli keluarga mereka yang berkait dengan ICC, termasuk individu yang didapati membantu siasatan mahkamah itu.
AS dan Israel bukan ahli mahkamah berkenaan mahupun mengiktiraf institusi itu.
Mahkamah itu mengeluarkan waran tangkap pada 21 November terhadap Netanyahu, bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, dan ketua sayap ketenteraan Hamas, Mohammed Deif yang menurut Israel sudah meninggal dunia.
Waran berkenaan, yang diluluskan selepas permohonan dibuat oleh pendakwa ICC, Karim Khan, pada Mei, adalah berkait tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan sekurang-kurangnya dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.
Semasa pentadbiran Trump pada penggal pertama, beliau pernah mengenakan sekatan terhadap ICC kerana menyiasat dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera AS di Afghanistan.
Namun, sekatan tersebut telah ditarik balik oleh Presiden Joe Biden ketika beliau mengambil alih pentadbiran.