WASHINGTON: Ketika pentadbiran Presiden Trump memasuki penggal kedua, batasan etika dan undang-undang nampaknya semakin pudar apabila membuka jalan kepada urus niaga yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam sejarah politik Amerika Syarikat.
Memetik laporan media antarabangsa, The New York Times, antara perkembangan paling mengejutkan, pentadbiran itu bersedia untuk menerima sebuah jet mewah bernilai $400 juta daripada keluarga diraja Qatar.
Jet itu bukan sahaja boleh digunakan semasa Trump berada di tampuk pemerintahan tetapi juga dijangka menjadi sebahagian daripada aset yayasan presidennya selepas beliau meninggalkan Rumah Putih.
Dalam dunia digital, Trump turut menceburkan diri dalam mata wang kripto dengan pelancaran $TRUMP, sebuah token digital yang bukan sahaja menguntungkan keluarganya tetapi juga menawarkan akses eksklusif kepada beliau.
Pelabur terbesar mata wang ini dijanjikan makan malam persendirian di kelab golf Trump dan lawatan eksklusif ke Rumah Putih dan ianya suatu langkah yang mengaburkan garis pemisah antara kepentingan politik dan peribadi.
Lebih menggemparkan, pentadbiran ini telah membatalkan unit penyiasatan jenayah kripto di Jabatan Kehakiman serta menggantung penguatkuasaan Akta Amalan Rasuah Asing yang sebelum ini bertindak mencegah syarikat Amerika daripada merasuah pegawai asing.
Peguam Negara, Pam Bondi, seorang bekas pelobi berpengaruh untuk Qatar turut memperketatkan peraturan pendaftaran pelobi asing.
Kritikan dari pelbagai pihak menganggap langkah-langkah ini sebagai tamparan hebat terhadap integriti perkhidmatan awam dan peningkatan pengaruh kewangan dalam dasar-dasar pentadbiran.
Namun, dengan keputusan Mahkamah Agung tahun lalu yang memberikan imuniti kepada presiden dalam tindakan rasmi mereka dan sokongan padu dari Parti Republikan, Trump terus melangkah tanpa halangan besar.