WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan kenaikan tarif import sehingga 50 peratus ke atas barangan dari India sebagai tindak balas terhadap pembelian minyak mentah murah dari Rusia oleh negara itu.
Langkah drastik itu berkuat kuasa malam Rabu (waktu Washington), sekali gus menggandakan kadar tarif sedia ada sebanyak 25 peratus yang diumumkan awal bulan ini.
Trump mendakwa tindakan India membeli minyak Rusia secara tidak langsung menyumbang kepada pembiayaan perang Moscow ke atas Ukraine.
“India bukan sahaja membeli minyak Rusia dalam jumlah besar, malah menjualnya semula di pasaran terbuka untuk keuntungan besar.
“Mereka (India) tidak peduli berapa ramai yang terbunuh di Ukraine akibat mesin perang Rusia,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Menurut beliau, peningkatan tarif itu adalah sebahagian daripada strategi menekan sekutu dan pesaing yang dilihat menentang kepentingan AS.
Kesan langsung daripada tindakan itu dijangka amat besar.
Tahun lalu, India mengeksport barangan bernilai RM407 bilion ke AS dan kini berdepan risiko besar dalam sektor tekstil, barang kemas dan makanan laut.
Beberapa kilang tekstil di Tirupur, Delhi dan Surat dilaporkan terpaksa ditutup kerana tidak mampu bersaing daripada segi harga.
Persekutuan Organisasi Pengeksport India (FIEO) menyuarakan kebimbangan bahawa barangan keluaran negara itu kini tidak mampu menyaingi produk dari China, Vietnam, Kemboja dan Filipina yang dikenakan tarif lebih rendah.
Di sebalik tekanan ekonomi, Perdana Menteri India, Narendra Modi tetap bertegas untuk meneruskan pembelian minyak dari Rusia dan menyeru rakyat agar menyokong produk buatan tempatan.
“Tekanan mungkin bertambah tetapi kita akan bertahan,” katanya, dipetik laporan antarabangsa.
Menteri Luar India, S Jaishankar, turut menyelar tindakan AS dan menyifatkan tuntutan agar India menghentikan import minyak Rusia sebagai tidak adil.
“Eropah juga masih berdagang dengan Moscow. Mengapa hanya India ditekan?” soalnya.








