Trump Sedia Laksana Fasa Kedua Sekatan Ke Atas Rusia

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mengukuhkan pendiriannya terhadap Rusia dengan menyatakan kesediaan untuk melaksanakan fasa kedua sekatan ekonomi berikutan konflik berterusan di Ukraine.

Kenyataan itu hadir selepas Moscow melancarkan serangan udara terbesar sejak perang bermula, yang meragut sekurang-kurangnya empat nyawa termasuk seorang bayi serta merosakkan bangunan kerajaan di Kiev dan beberapa bandar lain.

Trump sebelum ini dilihat mengambil pendekatan berhati-hati, menangguhkan sekatan tambahan demi memberi ruang kepada rundingan damai.

Namun, kenyataan terbaharunya menunjukkan perubahan nada yang lebih tegas, walaupun beliau tidak memperincikan bentuk tindakan atau tempoh pelaksanaannya.

Difahamkan, Trump kecewa kerana konflik yang disangka boleh ditamatkan segera sebaik beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, masih berlarutan tanpa penyelesaian.

Pada sidang media Rabu lalu, beliau mempertahankan langkah-langkah terdahulu yang telah memberi tekanan besar kepada Rusia.

“Itu menyebabkan Rusia kerugian ratusan bilion dolar.

“Awak kata itu bukan tindakan? Sedangkan saya belum laksanakan fasa kedua atau fasa ketiga lagi,” kata Trump.

Antara tindakan yang disebut termasuk tarif punitif ke atas eksport India ke AS bulan lalu, yang menurut pentadbiran Trump turut memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi Rusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent memaklumkan bahawa Washington bersama Kesatuan Eropah sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tarif sekunder terhadap negara-negara yang masih membeli minyak Rusia.

Langkah ini dilihat sebagai strategi untuk menekan ekonomi Moscow ke ambang kejatuhan dan memaksa Presiden Vladimir Putin kembali ke meja rundingan.

Anda Mungkin Berminat