Trump Terima Undangan ASEAN Ke Malaysia – Fahmi

PETALING JAYA: Jemputan ke negara Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dibuat pada waktu yang dianggap paling tepat, selaras dengan pendirian negara yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menggesa dialog terbuka di peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa langkah tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, namun jauh lebih bermakna berbanding tindakan memulaukan.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menekankan kepentingan berdialog sebagai pendekatan diplomatik yang matang dan berkesan.

“Sebenarnya menjemput itu adalah perkara yang lebih susah.

“Dari segi mudah untuk kita pulau, tapi sikap yang amat berhormat Perdana Menteri dalam banyak perkara ialah kita perlukan dialog,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan rasmi ke Sumud Nusantara, Command Centre, MAPIM, Warehouse, Sepang, Selangor pada Ahad.

Fahmi turut merujuk kepada perkembangan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menyaksikan perubahan pendirian beberapa negara dalam tempoh beberapa hari terakhir.

“Kita dapat lihat bagaimana di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam tempoh beberapa hari ini, banyak negara mengubah pendirian mereka.

“Malah, dalam 24 jam terakhir, perbincangan tertumpu bukan sahaja kepada gencatan senjata tetapi juga menghentikan perang di Gaza,” katanya.

Menurut beliau, kedatangan Trump ke Malaysia kelak membuka ruang strategik untuk negara-negara ASEAN menyampaikan pendirian tegas mereka secara langsung kepada pemimpin tertinggi AS.

“Maka inilah tempoh yang paling sesuai untuk kita jemput Presiden AS selain daripada menyatakan pendirian Malaysia dan memberi ruang kepada negara-negara AS lain untuk berinteraksi menyatakan pandangan mereka kepada Presiden AS,” katanya.

Fahmi turut menyentuh perkembangan positif di peringkat global, termasuk pengiktirafan negara bangsa Palestin oleh negara seperti Luxembourg, yang menurutnya memperkukuh suara solidariti dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Jelasnya, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan semula Gaza termasuk melalui perbincangan terdahulu dengan Jepun berkaitan bantuan pemulihan.

“Tapi Malaysia juga memainkan peranan yang penting bila sebelum ini kita pernah bincang dengan Jepun untuk membantu dalam pembangunan semula, pemulihan bumi Gaza.

“Jadi ini saya percaya antara beberapa perkara yang akan dibangkitkan oleh Perdana Menteri, lebih bermakna untuk kita dalam saat sekarang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat