WASHINGTON: Menyifatkan sebagai membazir, Donald Trump bertindak membubarkan Jabatan Pendidikan negara itu.
Beliau selaku Presiden Amerika Syarikat (AS) menandatangani perintah eksekutif dan menjadikannya agensi persekutuan terbaharu ditutup sejak memerintah semula.
Ini selaras dengan matlamat konservatif yang dilaporkan sudah lama diperjuangkan.
Beliau sebelum ini, berulang kali menyifatkan jabatan itu sebagai pembaziran.
Baginya, dana pendidikan sepatutnya dikendalikan oleh setiap negeri.
Memetik laporan Washington Post, dalam satu acara di Rumah Putih, beliau dilapor berkata bahawa kerajaan membelanjakan lebih banyak wang untuk pendidikan berbanding mana-mana negara lain, baik dari segi jumlah keseluruhan mahupun perbelanjaan setiap pelajar, namun keputusan yang diperoleh masih tidak memuaskan.
“Kita kembalikan kuasa pendidikan kepada negeri-negeri, di mana sepatutnya ia berada. Ini adalah langkah yang popular, tetapi yang lebih penting, ia masuk akal dan ia akan berjaya.
“Perkara ini telah dibincangkan selama berdekad-dekad, tetapi tiada presiden yang benar-benar melaksanakannya. Kini, saya melakukannya,” katanya ketika berucap di East Room.
Untuk rekod, agensi persekutuan ditubuhkan melalui Kongres dan hanya boleh dibubarkan melalui tindakan legislatif.
Untuk itu, Trump menjelaskan perintah eksekutif ini akan memulakan proses pembubaran Jabatan Pendidikan persekutuan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan beberapa perkara pokok seperti geran Pell untuk pelajar kolej, pembiayaan bagi kanak-kanak kurang upaya serta sokongan kepada sekolah di daerah berpendapatan rendah, akan dikekalkan tetapi dipindahkan ke agensi lain.
Baca juga: