Trump, Zelensky bertikam lidah di Washington

WASHINGTON: Pertemuan antara Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi tegang apabila masing-masing bertelagah semasa perbincangan.

Zelenskyy berada di Washington bagi menyaksikan pemeteraian perjanjian mineral yang dicadangkan antara Ukraine dan AS, selain berharap pertemuan tersebut dapat meyakinkan Washington untuk tidak memihak kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine tiga tahun lalu.

Namun, perbincangan bertukar tegang apabila kedua-dua pemimpin berbalas kata-kata pedas di hadapan media antarabangsa, memetik laporan BBC.

Meskipun wujud ketegangan susulan hubungan Trump dengan Russia, musuh ketat Ukraine, dan kenyataannya minggu lalu yang melabelkan Zelensky sebagai ‘diktator’, kedua-duanya masih mampu mengekalkan nada mesra selama 40 minit pertama.

Naib Presiden AS, JD Vance menjadi pencetus kekecohan itu, apabila memainkan peranannya yang semakin agresif sebagai ‘penyerang’ bagi pihak Trump, dengan menuduh Zelensky tidak menunjukkan rasa ‘bersyukur’ terhadap sokongan AS ketika pemimpin Ukraine itu mempersoalkan gesaan Trump supaya berunding dengan Moscow.

“Saya rasa tidak wajar bagi anda datang ke Pejabat Oval dan mempertikaikan perkara ini di hadapan media AS,” kata Vance, yang duduk di sofa berhampiran kedua-dua pemimpin.

Malah, keadaan menjadi lebih buruk apabila Trump turut campur tangan dengan retoriknya sendiri bagi menyerang Zelensky.

Ketika Zelensky berkata bahawa meskipun AS berada jauh dari Eropah, ‘anda akan merasakannya (kesan perang) di masa hadapan’ jika tidak membantu Kyiv, Trump menjadi berang.

“Jangan beritahu kami apa yang akan kami rasakan,” kata Trump dengan meninggikan nada suara, sekali gus menyebabkan pertelingkahan semakin hangat.

Dengan wajah merah padam, Trump mengacukan jarinya ke arah Zelensky sambil meninggikan suara. Pada satu ketika, dia menepuk lengan Zelensky bagi menegaskan pendiriannya.

Bagi Zelensky, pertemuan itu berubah menjadi satu perangkap apabila Trump terus membidasnya, sementara pemimpin Ukraine itu berusaha menyampaikan hujahnya.

Ketika Zelensky meminta peluang untuk menjawab, Trump menolak: “Tidak, tidak, anda sudah banyak bercakap. Negara anda tidak menang”.

Tidak lama selepas itu, Trump menamatkan sesi, mengarahkan wartawan keluar dan disusuli sejam kemudian oleh Zelensky meninggalkan Rumah Putih secara tergesa-gesa, manakala majlis menandatangani perjanjian mineral nadir bumi dibatalkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat