Polis menahan lelaki yang berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya ke arah seorang wanita di dalam Transit Aliran Massa (MRT), Kuala Lumpur pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada pukul 11.40 malam di Bandar Sungai Long Kajang.
“Polis menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 22 tahun berhubung perbuatan tidak senonoh itu pada 9.32 malam, 5 Disember lalu.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika suspek berada di dalam salah sebuah gerabak MRT dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa lapor Harian Metro.
Menurutnya, suspek mengaku dengan sengaja menunjukkan kemaluannya ke arah pengadu ketika berada di dalam gerabak berkenaan.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Baca juga: