Tuntutan Bayaran Balik Tunai Subsidi RON95 SKPS Dibuka 30 September

SUNGAI PETANI: Kerajaan akan membuka permohonan tuntutan bayaran balik tunai subsidi RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 30 September ini.

Langkah ini bagi membantu syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang masih belum menerima ‘fleet card’.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat yang layak boleh membuat tuntutan perbezaan harga antara harga pam tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter dengan harga subsidi RM2.05 seliter.

“Kerajaan memahami kebimbangan syarikat yang belum sempat mendapatkan fleet card. Maka, ruang bayaran balik tunai ini disediakan untuk memastikan mereka tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan.

Permohonan tuntutan bayaran balik hanya layak kepada syarikat yang telah mendaftar dalam SKPS dan memohon fleet card sebelum atau pada 31 Oktober 2025. Tempoh tuntutan bermula 30 September hingga 31 Oktober, atau sehingga tarikh fleet card diterima, yang mana lebih awal.

Semua tuntutan wajib disertakan dengan resit pembelian petrol RON95 dan dimuat naik di platform SKPS di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my. Bayaran balik akan dikreditkan ke akaun syarikat dalam tempoh 15 hari bekerja selepas semakan selesai.

Sehingga 25 September, sejumlah 5,233 syarikat dengan 12,955 kenderaan di seluruh negara telah mendaftar dalam SKPS sejak ia dibuka pada 15 September lalu. Pendaftaran masih dibuka dan syarikat boleh memilih maksimum tiga syarikat minyak untuk fleet card mereka.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Panggilan SKPS di talian 03-8882 5893/5894/5923/6667 atau melalui e-mel [email protected].

Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 ini adalah sebahagian daripada reformasi subsidi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi memastikan hanya sektor layak seperti pengangkutan awam dan barangan terus menerima manfaat dengan kadar subsidi sedia ada.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat