Turkiye jadi pelindung Global Sumud Flotilla, awasi dron Israel

ANKARA: Turkiye kini menyertai Itali, Sepanyol dan Greece dalam menghantar kapal tentera laut bagi mengiringi, melindungi dan mengawasi Misi Global Sumud Flotilla (GSF) daripada ancaman negara haram Israel.

Menurut laporan berita antarabangsa Reuters, data penerbangan global menunjukkan terdapat tiga dron jarak jauh yang berlepas dari Pangkalan Udara Corlu, Turkiye dilihat telah berlegar di ruang udara sekitar kapal-kapal pelayaran GSF sejak tiga hari lalu.

Lapor Reuters, punca sebenar penerbangan dron tersebut tidak dapat dipastikan.

Kini, agensi berita antarabangsa cuba untuk mendapatkan maklum balas daripada Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan agensi perisikan Turkiye bagi mengesahkan ancaman Israel terhadap GSF.

Sebelum ini, media melaporkan Konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilihat mula memasuki kawasan zon kuning menghampiri Gaza jam 9.40 malam pada Isnin.

Menerusi paparan tinjauan ‘Sumud Nusantara Flotilla Tracker’ yang dibangunkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), kedudukan terkini konvoi tersebut dilaporkan berada kira-kira 300 batu nautika dari pantai Gaza, Palestin.

Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat