Oleh: Tyah Helmi
UKRAINE menyatakan kesediannya untuk setuju dengan pelan gencatan senjata 30 hari bersama Rusia yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) setelah perbincangan antara AS dan Ukraine di Jeddah, Arab Saudi selesai.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata beliau akan membentangkan tawaran gencatan senjata tersebut kepada Rusia dan menyatakan bahawa “bola ini berada di pihak mereka”.
Presiden Ukraine, Volodomyr Zelensky pula berkata, kini terpulang kepada AS untuk meyakinkan pihak Rusia untuk menyatakan rasa setuju dengan cadangan yang disifatkan positif itu.
Lapor BBC, perbincangan yang diadakan pada Selasa di Jeddah merupakan pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua negara sejak pertembungan luar biasa antara Zelensky dan Presiden AS Donald Trump di Oval Office, Rumah Putih, Washington DC.
Dalam satu kenyataan bersama, AS menyatakan bahawa mereka akan memulakan semula perkongsian perisikan serta bantuan keselamatan kepada Ukraine yang sebelum ini dihentikan oleh Donald Trump selepas pertemuan luar biasanya itu bersama Zelensky.
“Kedua-dua delegasi bersetuju untuk menamakan pasukan perunding mereka dan memulakan rundingan segera ke arah perdamaian yang berkekalan yang menyediakan keselamatan jangka panjang untuk Ukraine,” kata kenyataan AS-Ukraine itu.
Rubio memaklumkan pada sidang media di Jeddah lewat hari Selasa bahawa beliau berharap Rusia akan menerima cadangan gencatan senjata terbabit.
Manakala Ukraine pula, dilaporkan bersedia untuk berhenti melancarkan tembakan ke atas Rusia dan mula menyertai perbincangan.
Katanya, jika Rusia menolak pelan gencatan senjata tersebut maka negara mereka yang menjadi penghalang kepada perdamaian diantara dua negara itu.
“Hari ini kami telah membuat tawaran yang diterima oleh Ukraine, iaitu untuk memasuki gencatan senjata dan memulakan rundingan segera,” tegasnya.
Baca juga:








