Ulasan | 20 September – Luka Yang Membekas, Harapan Yang Menyala

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | SEMALAM, 20 September bukan sekadar tarikh biasa. Setiap bangsa ada tarikh yang menguji jiwa dan kesabaran rakyatnya.

Bagi Malaysia, tarikh itu ialah 20 September 1998 – malam luka yang mencatatkan sejarah paling hitam dalam politik negara.

Dan mungkin juga ramai yang sudah lupa tetapi kita bersangka baik dan memaafkan mereka.

Bagi yang lupa, jom kita kenang semula apa yang berlaku pada malam itu.

Rakyat menyaksikan bagaimana Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditahan secara kasar di rumahnya oleh Unit Tindakan Khas (UTK).

Beberapa minggu sebelum itu, beliau sudah dipecat daripada kerajaan dan parti, lalu dihujani tuduhan yang memalukan.

Namun yang lebih mengejutkan negara ialah apabila Anwar muncul di mahkamah dengan mata lebam – bukti jelas bahawa beliau dipukul ketika dalam tahanan polis.

Imej itu merentap hati rakyat. Ia bukan sekadar wajah seorang pemimpin yang dihina tetapi simbol luka sebuah bangsa yang dipaksa menyaksikan bagaimana kuasa digunakan tanpa belas kasihan untuk menundukkan lawan politik.

Bahkan, 20 September merobek keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan undang-undang negara.

Luka itu menyedarkan rakyat bahawa demokrasi boleh diperdagangkan dan undang-undang boleh menjadi senjata politik.

Namun, tanpa disangka luka itu juga menyatukan rakyat.

Dari jalan-jalan Kuala Lumpur, laungan “Reformasi” bergema menuntut keadilan dan menolak penindasan.

Buat pertama kali dalam sejarah moden, rakyat berani berdepan pemerintah dengan keberanian kolektif.

Luka itu akhirnya meruntuhkan tembok ketakutan yang selama ini membelenggu masyarakat.

Cabaran Dan Pengkhianatan

Tetapi luka yang membangkitkan kesedaran itu tidak serta-merta membawa penawar.

Dua dekad berlalu, gerakan Reformasi sendiri berdepan cabaran getir.

Perpecahan dalaman, apabila idealisme kerap ditenggelami perebutan jawatan.

Pengkhianatan politik, apabila ada yang pernah melaungkan “Reformasi”, kini berdiri di pihak yang sama dengan kuasa yang pernah ditentang.

Keletihan rakyat, yang kadangkala merasakan perjuangan itu hanyalah pusingan kuasa, bukan perubahan sebenar.

Di sinilah luka Reformasi kembali terasa – seakan-akan pengorbanan 20 September dikhianati oleh sebahagian elit politik yang mudah lupa bahawa gerakan ini lahir daripada darah dan air mata rakyat, bukan sekadar strategi untuk berkuasa.

MADANI Menyembuhkan

Hari ini, Anwar Ibrahim – lelaki “Si Mata Lebam” meminjam jolokan nama dalam sajak penyair Dinsman yang merakyat ketika itu – akhirnya berada di tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri ke-10.

Agenda Malaysia MADANI yang diperkenalkan membawa makna simbolik, seolah-olah mahu memulihkan luka lama dengan membina sebuah negara berteraskan keadilan, belas ihsan, tadbir urus bersih, dan kesaksamaan sosial.

Tetapi cabaran masih besar. MADANI hanya akan berjaya jika luka lama tidak diulang, jika kuasa tidak lagi diperalat.

Jika rakyat tidak lagi menjadi mangsa janji yang dikhianati.

Rakyat tidak mahu Reformasi hanya menjadi slogan, atau MADANI sekadar hiasan kata.

Mereka mahu melihat keadilan ditegakkan, ketelusan dipertahankan, dan kesaksamaan benar-benar dirasai.

Dua puluh tujuh tahun selepas 20 September, luka itu masih membekas.

Ia mengingatkan kita bahawa politik tanpa prinsip hanyalah permainan kuasa yang menambah derita rakyat.

Tetapi luka itu juga melahirkan harapan bahawa Malaysia mampu berubah jika rakyat tidak berhenti menuntut perubahan.

20 September ialah simbol luka yang membekas, tetapi juga harapan yang menyala.

Luka itu pahit untuk dikenang tetapi daripadanya lahir iltizam untuk menjadikan Malaysia lebih bebas, lebih adil, dan lebih demokratik.

Seperti parut pada tubuh, luka 20 September kekal di wajah sejarah Malaysia.

Ia tidak mungkin terpadam tetapi ia mengingatkan kita kepada kesilapan yang tidak boleh diulang.

Parut itu bukan sekadar tanda luka tetapi juga tanda bahawa kita pernah bangkit dan akan terus bangkit demi sebuah harapan yang tidak pernah padam.

*** Penulis merupakan bekas pensyarah bahasa dan tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Anda Mungkin Berminat