Oleh: Dr Mohd Yusri Ibrahim
ULASAN | PARTI UMNO mengalami titik paling rendah prestasi politik mereka dalam PRU15 2022 apabila hanya menang 26 kerusi.
Walaupun memegang status sebagai parti terbesar orang Melayu, tetapi UMNO ditolak oleh orang Melayu sendiri dalam pilihan raya tersebut.
UMNO kalah teruk di lingkaran Melayu iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, hanya boleh terus memerintah Pahang dan Perak dengan sokongan Pakatan Harapan(PH).
Mitos politik menyatakan UMNO hilang sokongan Melayu apabila mereka bekerjasama dengan DAP agak kurang tepat.
Hakikatnya defisit undi Melayu yang dialami oleh UMNO itu berlaku lebih awal, sebelum kerjasama dengan DAP lagi.
Walaupun hampir lunyai dalam PRU15 tersebut, UMNO bertuah kerana pemimpin mereka bijak mencatur strategi dengan menyertai Kerajaan Perpaduan.
Meskipun hanya mempunyai 26 ahli parlimen, tetapi UMNO mendapat tujuh menteri kabinet, serta ramai lagi timbalan menteri.
Susun Langkah
Keberadaan dalam kerajaan membolehkan UMNO menyusun pelan pemulihan dengan lebih baik, ruang dan peluang dimanfaat sebaiknya.
Menteri- menteri daripada UMNO juga dilihat antara menteri yang mempamerkan prestasi baik dalam kabinet Anwar, bahkan jadi tonggak penting pentadbiran negara.
Sosok-sosok seperti Zambry Kadir, Johari Ghani, Tengku Zafrul, Azalina Othman, Khaled Nordin, Mohamad Hasan dan Zahid Hamidi sendiri adalah pemimpin yang berpengalaman luas.
Keberadaan mereka dalam kabinet memberi nilai tambah yang besar kepada kerajaan, antara figura yang memberi sumbangan bermakna dalam pentadbiran Malaysia Madani.
Hari ini UMNO menyambut ulang tahun kelahiran Ke-79, satu usia yang sangat mematang dan mendewasakan.
Sambil-sambil membelah kek dan meniup lilin sambutan hari jadi, sudah tentu UMNO terus mencongak hala tuju mereka seterusnya selepas ini.
Menjelang PRU16 yang semakin hampir, UMNO ada tiga pilihan iaitu bersendirian bersama BN, kembali menjalin cinta bersama PAS dan BERSATU dalam MN/PN, atau kekal bekerjasama dengan PH dan parti-parti Malaysia Madani yang lain.
Menempah Maut
Politik sekarang sangat dinamik, sebarang kemungkinan boleh berlaku, sukar untuk dijangka.
Namun dengan data- data semasa yang ada, saya jangkakan UMNO akan menempah maut jika memutuskan untuk bersendirian bersama BN dalam PRU16 nanti.
Pilihan agak baik untuk UMNO sama ada kembali bekerjasama dengan PAS dan BERSATU dalam PN/MN, atau kekal bekerjasama dengan PH dan parti Kerajaan Perpaduan yang lain.
Jika kembali bekerjasama dengan PN, UMNO akan kembali boleh menumpang undi orang Melayu daripada segmen penyokong PAS khususnya.
Namun mereka akan hadapi sedikit risiko kerana tiga-tiga parti utama iaitu PAS, UMNO dan BERSATU akan berebut kerusi segmen yang sama iaitu segmen Melayu.
Selain itu kerjasama tersebut agak lompang kerana kurang sokongan segmen orang bukan Melayu, tidak mewakili komposisi dan demografi sebenar rakyat Malaysia.
Kerjasama dengan PH agak ideal, kerana masing- masing parti ada segmen tersendiri iaitu UMNO di segmen Melayu, PKR di segmen bercampur dan DAP di segmen bukan Melayu, AMANAH pula boleh diletak di segmen Melayu bandar dan bercampur.
Jika berjaya membentuk kerajaan, kerjasama tersebut agak ideal kerana memiliki perwakilan semua etnik utama, apatah lagi dengan penglibatan parti-parti lokal Sarawak dan Sabah.
Namun isu utama kerjasama BN-PH adalah DAP, ramai melihat kerjasama UMNO-DAP tidak cocok.
UMNO itu sendiri juga kelihatan begitu defensif dan apologetik dengan kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan ini.
Secara optiknya memang kelihatan kerjasama UMNO-DAP ini menggusar dan mengurangkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO.
Namun data-data yang ada tidak menyokong sepenuhnya dakwaan tersebut.
Pertama, seperti saya tegaskan pada awal catatan ini, defisit undi Melayu terhadap UMNO berlaku sebelum kerjasama dengan DAP lagi, bermula PRU 2008 dan memuncak dalam PRU 2022, tiada kaitan dengan DAP pun.
Kedua, saya menganalisis skor keputusan saluran demi saluran dalam PRK terakhir yang disertai UMNO iaitu Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning.
Kombinasi antara undi teras sedia ada UMNO dan pindahan undi PH, secara umumnya sokongan orang Melayu meningkat dalam PRK tersebut.
Selain itu, UMNO mendapat keuntungan berganda apabila kebolehpindahan undi (vote transferbility) daripada PH kepada BN berlaku dengan baik dan tuntas, termasuk daripada pengundi etnik Cina.
Saluran dan PDM yang sebelum ini dimenangi oleh PH dalam pilihan raya lalu dimenangi dengan bergaya oleh UMNO/BN dalam siri PRK tersebut hasil daripada pindahan undi penyokong PH.
Sebagai contoh dalam PRK Ayer Kuning yang terbaru, undi UMNO/BN di PDM Cold Stream dan Ayer Kuning Selatan meningkat sehingga 300-400 peratus.
Dua PDM ini adalah majoriti etnik Cina yang memberi kemenangan besar kepada calon PH pada PRU 2022.
Maksudnya kerjasama dengan PH/DAP meningkatkan undi etnik Cina kepada UMNO/BN, dalam masa sama tidak mengurangkan undi etnik Melayu.
Memang data saya ada menunjukkan sekitar 10-20 penyokong teras UMNO berada dalam keadaan fragile dan berisiko tidak memberi undi kepada BN/UMNO disebabkan pelbagai faktor, namun pengurangan ini telah diimbangkan oleh peralihan undi Melayu penyokong PH.
Inilah situasi yang ada kepada UMNO sewaktu mereka menyambut ulang tahun kelahiran pada hari ini.
Untuk UMNO pulih sepenuhnya dan jadi parti dominan semula dalam masa terdekat agak mustahil, UMNO perlu realistik dengan realiti semasa.
Namun UMNO mempunyai beberapa pilihan untuk menentukan kerjasama politik bagi meneruskan kesinambungan mereka dalam landskap politik tanah air.
Kepada sahabat-sahabat daripada parti UMNO, saya ucapkan selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran.
Sambil-sambil membelah kek, meniup lilin dan menyanyi lagu happy birthday, jangan lupa untuk terus beristikharah mencari petunjuk terbaik untuk langkah seterusnya.
*** Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)