Oleh: Amin Ahmad
TAHUN depan mood pilihan raya akan bermula. Ya, walaupun penggal pentadbiran ada lebih kurang tiga tahun lagi.
Kenapa saya kata begitu? Bersatu sedang dalam proses pemilihan parti. Keadilan (PRK) tahun hadapan. Parti-parti lain ada yang sudah lakukan ada yang belum.

PRN tak lama lagi
Pilihan raya negeri Sabah akan berlaku tahun hadapan. Kemudian diikuti pilihan raya negeri Melaka dan Johor. Kemudian pilihan raya negeri Sarawak.
Ini sedikit-sebanyak mungkin boleh mengalih fokus pentadbiran. Mengapa ini berlaku? Sarawak kita tahu dah lama berasingan. Usaha merapatkan tempoh pilihan raya entah pernah difikirkan atau tidak.
Tetapi di negeri-negeri lain semakin berbeza waktu. Puncanya bermula sejak Langkah Sheraton bila berlaku pertukaran kerajaan di beberapa negeri. Kemudian Parlimen bubar lebih awal berbanding enam negeri. Ini mungkin memerlukan sedikit masa sebelum dapat dirapatkan atau disekalikan semula.
Pemilihan parti akan dilihat sebagai wadah awal menentukan bakal calon. Maka mood pilihan raya di kalangan yang berminat menjadi calon pun ikut terdorong. Tidak salah kerana memang itu prosesnya walaupun sebagai bekas calon pilihan raya, saya sendiri tidak pasti apa yang seronok menjadi calon selain mungkin popular sekejap, diberi perhatian dan bantuan itu ini oleh parti, keluarga, rakan-rakan, masyarakat umumnya.

Selangkah jadi YB
Menjadi calon adalah selangkah ke arah menjadi wakil rakyat. Jika menang, gelaran YB akan dipegang. Dihormati, didatangi atas pelbagai tujuan yang umumnya bersifat meminta tolong dan berpeluang menabur jasa pelbagai. Lebih beruntung, barangkali, jika menjadi pemegang jawatan eksekutif misalnya menjadi Menteri yang ada lebih kuasa mencorak pembangunan.
Intrik politik bermula daripada keinginan terhadap kuasa. Cantas-mencantas, jatuh-menjatuh, naik-menaik. Kita menyokong siapa yang dianggap boleh/akan membantu kita, atau baik dengan kita. Kita menentang siapa yang dianggap tidak membantu kita, atau tidak mesra dengan kita.
Kita menggunakan kuasa bisikan, panggilan, sumbangan, kedudukan dan jawatan, atau hubungan dengan pemimpin lebih besar, sebagai daya pengaruh untuk dipilih dan diangkat.
Semua ini resam politik. Bukan semestinya salah. Jarang dalam politik orang mengaku salah. Baik pemimpin malah pengikut.
Sesekali wajar kita bertanya kepada diri: apakah niat asal kita menyertai politik? Apakah sejak 5 tahun atau 20-30 tahun kita di dalam politik, ilmu dan kemahiran kita bertambah, hubungan baik kita semakin luas, sumbangan kita memberi kesan?
Apakah semasa kita berjawatan, sumbangan kita kepada parti dan rakyat jelas dan nyata? Majukah parti berbanding dulu? Terbelakah rakyat? Jika tidak, kenapa? Apa yang telah kita lakukan?
Jika kita masih di takuk lama dan masa yang beransur tidak menjadikan kita semakin pintar, mahir dan hemah, mungkin wajar dipertanyakan apakah sebenarnya segala kelemahan dan kekurangan berpunca daripada diri kita sendiri. Kerana menganggap diri kita selalu betul dan diri kita adalah piawaian pencapaian, maka kepimpinan kita menjadi batas pencapaian parti dan masyarakat. Kita gagal membentuk sinergi gerak kerja jemaah untuk mencapai lebih baik.
Politik memang sebahagian besarnya berlegar tentang kuasa. Sama ada kuasa itu menjadi ladang pahala atau kebun dosa, kitalah yang mesti selalu mengawasi.
***Penulis adalah Pengerusi Pakatan Harapan Perlis dan Pengerusi PKR Perlis