KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun ke-79 UMNO berlangsung dengan penuh semangat dan makna di Dewan Tun Hussein Onn, WTC Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis itu bukan sekadar peringatan sejarah tetapi juga simbol keteguhan perjuangan parti yang telah menempuh pelbagai cabaran selama hampir lapan dekad.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya menegaskan bahawa walaupun diasak ujian dan fitnah, UMNO tetap berdiri teguh kerana kesetiaan ahlinya di setiap peringkat.
“Walau hampir lapan dekad berjuang menempuh badai dan dugaan, UMNO kekal utuh kerana kekuatan akar umbi dan kesetiaan ahlinya di setiap peringkat,” katanya.
Majlis itu turut mencatat sejarah baharu dengan konvokesyen sulung Sekolah Patriotik UMNO bagi kumpulan pertama, PATRIOT 1.
Menurutnya, para graduan yang telah menjalani pembentukan politik yang tersusun dan berprinsip diraikan sebagai generasi pelapis yang akan membawa panji perjuangan UMNO ke era yang lebih mencabar dengan ilmu, integriti dan keberanian.
“Kita tidak boleh terus selesa dengan naratif semalam untuk menjawab cabaran hari ini,” ujar Zahid Hamidi, sambil menyeru UMNO untuk bangkit sebagai parti masa hadapan yang berpaksikan tiga wasilah utama.
“Pertama, ‘Politik Solusi’ yang menawarkan jawapan praktikal kepada keresahan rakyat.
“Kedua, ‘Politik Legasi’ yang melahirkan pewaris berkualiti seperti graduan Sekolah Patriotik UMNO.
“Ketiga, ‘Politik Moderasi’ yang menjadikan UMNO sebagai wadah pertengahan yang menyatupadukan rakyat dalam suasana politik yang kian terpolarisasi,” katanya.
Beliau berharap agar sambutan ulang tahun kali ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu UMNO yang lebih tersusun, inklusif dan berwibawa, demi agama, bangsa dan watan.