PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menempelak Umno kerana didakwa mengamalkan pendekatan ‘tidak konsisten’ dalam hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya apabila sikap parti itu berbeza antara Johor dan Melaka.
Beliau menyifatkan alasan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bahawa Kerajaan Johor tidak terikat dengan model Kerajaan Perpaduan kerana terbentuk sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai hujah yang ‘tidak masuk akal’ dan bercanggah dengan amalan politik di negeri lain.
Menurut Mahfuz, hujah itu tidak boleh digunakan secara terpilih kerana Melaka juga membentuk kerajaan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun tetap mengamalkan pendekatan lebih terbuka terhadap kerjasama dengan PH.
“Kalau di Johor kata tidak terikat tapi di Melaka boleh pula bekerjasama, ini jelas menunjukkan ada ‘standard’ berbeza,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mahfuz mendakwa keadaan itu memperlihatkan seolah-olah wujud ‘politik dua wajah’ apabila konsep perpaduan hanya dilaungkan di peringkat pusat tetapi dilaksanakan secara berbeza mengikut negeri.
Beliau berkata, rakyat kini semakin jelas melihat percanggahan tersebut.
“Rakyat nampak dengan jelas. Di satu tempat bercakap pasal perpaduan, di tempat lain pula menutup pintu kepada rakan yang sama.
“Ini menimbulkan persoalan besar tentang keikhlasan politik,” katanya.
Mahfuz turut menyifatkan keadaan itu membuka ruang kepada persepsi wujudnya amalan ‘double standard’ dalam kalangan pemimpin politik apabila alasan politik digunakan mengikut kesesuaian.
Menurutnya, jika Kerajaan MADANI benar-benar berasaskan semangat perpaduan, maka ia perlu dizahirkan secara konsisten di semua negeri tanpa pengecualian.
“Kalau Melaka boleh berkongsi kuasa dengan PH, kenapa Johor masih memilih pendekatan berbeza?” soalnya.
Terdahulu, Umno memutuskan untuk menentukan pendirian dan hala tuju parti menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Untuk itu, katanya, hubungan BN dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan terjejas sehingga pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dilangsungkan.








