UMNO Selangor kekal junjung, pertahan kedudukan Sultan Selangor

PETALING JAYA: UMNO Selangor menegaskan pendirian parti itu untuk terus menjunjung dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan serta kedudukan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah daripada sebarang bentuk penghinaan dan cubaan mempolitikkan institusi Kesultanan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya menyokong penuh serta menjunjung kasih terhadap kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor bertarikh 6 Mei 2026 berhubung peranan Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.

Menurut beliau, kenyataan tersebut penting bagi memperjelaskan kepada rakyat mengenai fungsi dan tanggungjawab Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.

“Institusi Raja bukan sekadar simbol semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan secara bertanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, semua pihak sewajarnya menghormati kedudukan serta peranan Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tanpa menimbulkan persepsi negatif terhadap titah dan pandangan Baginda.

Megat turut menegaskan UMNO Selangor akan kekal konsisten mempertahankan institusi Kesultanan Selangor daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah, provokasi dan cubaan memperlekehkan martabat Sultan Selangor.

Katanya, sebelum ini UMNO Selangor juga konsisten mempertahankan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di negeri itu yang didakwa cuba diputarbelitkan pihak tertentu.

Dalam masa sama, beliau mengecam tindakan pihak yang didakwa menyunting dan menghina imej Sultan Selangor yang disifatkan melampaui batas adab, budaya dan prinsip menghormati institusi Raja.

“Institusi Raja Melayu merupakan payung negeri, lambang perpaduan rakyat serta benteng kestabilan yang wajib dipelihara dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar lebih matang, berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan perkara melibatkan Sultan Selangor sebagai polemik politik sempit.

Menurutnya, tumpuan utama semua pihak seharusnya diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat