UMNO Sri Gading Mampu Cetus Kebangkitan Semula Parti – Zahid

BATU PAHAT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan keyakinan bahawa UMNO Bahagian Sri Gading mampu menjadi pemangkin kebangkitan semula parti, bukan sahaja di Johor malah di seluruh negara.

Beliau berkata, UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada sejarah dan nostalgia semata-mata, sebaliknya perlu tampil dengan prestasi, kesetiaan dan pendekatan yang benar-benar menyentuh hati rakyat.

“Saya yakin UMNO Sri Gading mampu menjadi antara pencetus kebangkitan UMNO di Johor dan di seluruh Malaysia, asalkan kita terus bersatu dan bekerja dengan hati yang ikhlas,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading 2025, pagi tadi.

Mesyuarat yang berlangsung penuh semangat itu dihadiri ratusan perwakilan yang mencerminkan kekuatan akar umbi UMNO di kawasan tersebut yang dilihat masih utuh dan berdaya saing.

Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan atas kepimpinan beliau yang terus komited memperjuangkan parti.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkan sebagai pemacu pembangunan negeri dan peluang besar untuk UMNO meyakinan semula rakyat terhadap parti.

Tegas Zahid, semangat kebersamaan dalam kalangan ahli UMNO perlu terus disemarakkan demi agama, bangsa dan tanah air termasuk usaha untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sri Gading pada pilihan raya akan datang.

Anda Mungkin Berminat