UNICEF Seru Tindakan Segera Tangani Buli Di Malaysia

PETALING JAYA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa insiden buli dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera.

Menurut UNICEF, masalah itu bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan emosi dan fizikal kanak-kanak, malah berisiko membawa kesan tragis jika tidak ditangani secara menyeluruh.

Wakil UNICEF ke Malaysia merangkap Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Robert Gass menyatakan rasa sedih dan kebimbangan mendalam terhadap laporan terkini yang menunjukkan peningkatan kes buli di sekolah dan komuniti.

Beliau berkata, setiap kanak-kanak berhak untuk merasa selamat dan dihormati terutama di ruang pendidikan.

“Tiada kanak-kanak sepatutnya merasa takut berada di sekolah dan tiada ibu bapa perlu risau anak mereka tidak pulang ke rumah dengan selamat,” katanya memetik laporan media tempatan.

UNICEF berkata, sekolah harus menjadi tempat yang selamat untuk belajar, membina sahsiah dan membentuk hubungan sosial yang sihat.

Dalam tinjauan terdahulu, buli dikenal pasti sebagai antara kebimbangan utama kanak-kanak, manakala data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan hampir sembilan peratus kanak-kanak pernah menjadi mangsa buli dalam tempoh sebulan.

Robert Gass turut menyeru agar pendekatan terhadap isu ini tidak bersifat menghukum semata-mata, sebaliknya berteraskan bimbingan dan pemulihan.

Beliau berkata, pelaku buli juga perlu dibantu agar memahami kesan perbuatan mereka dan berubah secara positif.

UNICEF menggesa agar dasar sekolah diperkuat, saluran aduan yang selamat diwujudkan dan pelaburan dalam tenaga kerja sosial seperti kaunselor dan pekerja sosial ditingkatkan.

Semua usaha ini, katanya, mesti berpaksikan hak kanak-kanak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada ketakutan.

Anda Mungkin Berminat