Universiti Tsukuba buka kampus cawangan pertama di Malaysia

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Universiti Tsukuba di Jepun telah membuka kampus cawangan di Malaysia sekali gus, melakar sejarah tersendiri sebagai kampus cawangan universiti Jepun pertama ditubuhkan di luar negara.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, seramai 13 orang pelajar terdiri daripada tujuh pelajar Malaysia dan enam pelajar Jepun menjadi kumpulan pertama yang memulakan pengajian mereka dengan sesi orentasi yang akan bermula esok (Selasa).

“Kerjasama institusi ini dapat memberi tumpuan kepada program pertukaran akademik.

“Bahkan, ia juga dapat mempromosikan pemahaman budaya dan perspektif global serta mempersiapkan pelajar untuk menjadi pemimpin dunia satu hari nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Bangunan R&D, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur merupakan tanda persahabatan di antara dua negara melalui kolaborasi antara dua institusi pendidikan terkemuka terbabit.

Untuk info, Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada tahun 1872 merupakan salah satu daripada 86 buah universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun.

Anda Mungkin Berminat