PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan ketara kepada 5.1 peratus pada tahun 2024 (2023: 3.6%), melebihi unjuran awal kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, iaitu antara empat hingga lima peratus.
Kerajaan Madani juga berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal pada tahun 2024, apabila mencatatkan 4.1 peratus (2023: 5%), lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejayaan itu adalah hasil daripada usaha bersepadu Kerajaan Madani dan industri.
“Menjelang tahun 2025, Kerajaan Madani kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 dipacu oleh penggunaan swasta yang meningkat sebanyak 5.1 peratus (2023: 4.7%) dan pelaburan yang melonjak sebanyak 12 peratus) (2023: 5.5%).
Selain itu, jumlah dagangan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing bersih berjumlah RM47.4 bilion (2023: RM40.4 bilion).
Penunjuk sokongan lain termasuk paras inflasi yang menyederhana kepada 1.8 peratus (2023: 2.5%), kadar pengangguran yang rendah pada 3.3 peratus (2023: 3.4%) dengan trend menurun kepada 3.1 peratus pada Disember lalu iaitu paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
Melangkah ke tahun 2025, Kerajaan Madani mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didorong oleh limpahan teknologi, pelaksanaan pantas projek infrastruktur kritikal dan aktiviti pelancongan yang lebih rancak.
“Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan,” katanya.