Delegasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ke China untuk mendalami transformasi ekonomi China menerusi kepimpinan Parti Komunis China (CPC) mendapat sokongan penuh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Beliau berkata, ia merupakan manifestasi keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, terutama sekali apabila hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tersebut sudah mencapai usia 50 tahun.
“Transformasi ekonomi China ini merangkumi pelbagai bidang termasuk pembangunan sektor kenderaan elektrik (EV), industri berteknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI) serta pembasmian kemiskinan,” katanya.
Norman menyatakan bahawa China kini menguasai 34 peratus dalam sektor EV global, dengan rekod jualan sebanyak 9 juta unit kenderaan jenis EV jenama negara berkenaan pada tahun 2023.

“Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hub automotif utama pengoperasian salah satu pengilang besar kenderaan EV dari China, Geely yang dapat memberikan manfaat besar kepada negara termasuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan negara.
“Saya berharap kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat terus memberikan sokongan penuh kepada syarikat-syarikat seperti Geely,” ujarnya.
Selain pelaburan dalam sektor EV, Norman turut berkata, China komited melaksanakan ‘The Agenda for Sustainable Development Summit’ yang telah diadakan pada bulan September 2015 untuk membasmi kemiskinan dalam negara tersebut.
Susulan pelaksanaan inisiatif tersebut, pendapatan boleh guna (disposable income) per kapita bagi penduduk adalah sebanyak RM9,838.30, menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5 peratus pada tahun 2022 di luar bandar China.
Sebagai perbandingan, jumlah pendapatan jumlah pendapatan boleh guna per kapita bagi rakyat Malaysia bagi tempoh yang sama adalah sebanyak RM5,413.

Disebabkan perbandingan tersebut, Norman percaya bahawa banyak yang dapat dipelajari oleh kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada China merentasi pelbagai sektor pembangunan negara.
Norman berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Sempena Kunjungan KEADILAN ke Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada Rabu.
Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengarah Biro Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Christine Liew; Ahli MPP KEADILAN, Datuk Romli Ishak; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai dan para delegasi KEADILAN.
Baca juga: