Video TikTok Palsu Tiru Suara Agong Dikesan, Orang Ramai Diminta Berhati-hati

KUALA LUMPUR: Istana Johor memberi amaran kepada orang ramai berhubung penyebaran beberapa video TikTok yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, kononnya menawarkan bantuan kewangan sempena Ramadan.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Media dan Komunikasi Istana Johor memaklumkan pihaknya mengesan beberapa akaun TikTok palsu yang menghasilkan kandungan menggunakan teknologi AI bagi mensimulasikan suara Seri Paduka Baginda.

Video berkenaan memaparkan suara yang didakwa sebagai suara Baginda, kononnya mengumumkan bantuan kewangan kepada rakyat sempena bulan Ramadan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun palsu yang dipercayai digunakan oleh sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa.

“Istana Johor menegaskan bahawa perbuatan menyamar dan menyalahgunakan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berdepan isu sama apabila Istana Pahang mengesan penyebaran video AI yang menyamar sebagai Baginda dan mendakwa menawarkan bantuan kerajaan.

Istana Pahang menjelaskan bahawa Sultan Pahang tidak mempunyai akaun media sosial peribadi dan segala kenyataan rasmi hanya disalurkan menerusi platform rasmi yang disahkan.

Anda Mungkin Berminat