Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Angkatan Muda Parti Keadilan (MPAMK) mengumumkan senarai barisan penuh kepimpinan terkini yang telah dipersetujui bagi memperkukuhkan lagi organisasi itu.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, segala keputusan pelantikan itu dibuat seusai Mesyuarat MPAMK kali pertama buat tahun 2025 bertempat di Ibu pejabat PKR pada Khamis.
Antara barisan utama yang menjawat jawatan penuh di kepimpinan itu Muhammad Kamil Abdul Munim sebagai Ketua AMK, merangkap Pengarah Akademi PKR, manakala Muhammad Izuan Ahmad Kasim turut memegang jawatan Timbalan Ketua dan juga Pengarah Pilihan Raya.
Barisan Naib Ketua turut disertai oleh Muhammad Nabil Halimi, Dr. Mohammed Taufiq Johari, dan Chiew Choon Man, selain dua pelantikan tambahan iaitu Pravin Murali dan Nadia Fathin Syahira.
Sementara itu, Mohammad Nazim Abdullah dilantik mengetuai Skuad Keadilan, sebuah unit khas di bawah AMK yang memainkan peranan penting dalam mobilisasi akar umbi dan kerja-kerja lapangan.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut disertai bersama dengan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua individu yang telah dilantik menganggotai MPAMK.
“Sekalung tahniah diucapkan kepada semua yang telah dilantik. Selamat menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab,” ujarnya.
Pada masa yang sama, MPAMK turut menyatakan pendirian mereka untuk terus memperkemas penyampaian penerangan dan komunikasi serta menetapkan kerangka strategik yang jitu bagi mendepani pilihan raya yang akan datang.
Baca juga: