PARLIMEN | Rapid KL akan memanjangkan waktu perkhidmatan rel pada waktu puncak sepanjang bulan Ramadan bagi menampung corak pergerakan pengguna, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, waktu puncak pagi akan bermula lebih awal iaitu 6.30 pagi hingga 9.30 pagi, berbanding 7 pagi hingga 9.30 pagi pada bulan biasa.
Manakala waktu puncak petang pula dipanjangkan kepada 4 petang hingga 8 malam, berbanding 5 petang hingga 7.30 malam.
“Langkah ini bagi memastikan kelancaran perkhidmatan rel, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi.
“Ia juga bertujuan mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang meminta penjelasan sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah sempena Ramadan, dalam sesi Dewan Rakyat pada Isnin.
Anthony turut berkata, Rapid KL sentiasa bersiap siaga, bukan sahaja pada bulan Ramadan, melalui penyelenggaraan berkala tren dan sistem bagi mengurangkan kebarangkalian gangguan teknikal.
“Gangguan teknikal sukar diramal tetapi apa sahaja gangguan perlu diminimumkan untuk memastikan pengguna tidak terjejas.
“Prasarana telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan gangguan dapat ditangani dengan cepat,” katanya.
Tambah beliau, kakitangan teknikal turut ditempatkan di dalam tren sebagai langkah mitigasi segera, manakala pengurusan stesen diberikan latihan untuk mengawal kesesakan dan memastikan pergerakan penumpang lebih lancar sekiranya berlaku gangguan.








