Wan Ahmad Dahlan ganti Zulkapli sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, berkuat kuasa Selasa (esok).

Dalam satu kenyataan, pelantikan itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, bagi menggantikan tempat Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Dahlan sebagai KPPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), berkuat kuasa 9 januari 2024.

“Dengan pengalaman dan kredibiliti dimilikinya, saya yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Katanya, pelantikan itu berpandukan pengalaman beliau yang luas dalam pelbagai bidang, di samping perkhidmatannya sebelum ini sebagai Ketua Pengarah ICU-JPM.

“Beliau yang dahulu berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan, 58, merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.

Selain itu, Ahmad Dahlan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mohd Zuki turut berkata, kerajaan merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Zulkapli atas segala khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat