KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Mewah 5, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Majlis tersebut diadakan bagi menyantuni penduduk yang terkesan akibat insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini yang telah menyebabkan kemusnahan kepada beberapa kediaman di kawasan berkenaan.
Kebakaran yang berlaku pada awal pagi 11 April baru-baru itu telah memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah, manakala dua buah lagi mengalami kerosakan teruk.
Kebakaran dipercayai bermula sekitar jam 3.30 pagi dan berjaya dikawal oleh pihak bomba kira-kira sejam kemudian. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun beberapa keluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Dalam ucapan ringkasnya, Wan Azizah menyatakan harapan agar bantuan yang diberikan dapat meringankan beban penduduk yang terkesan serta menyuntik semangat kepada mereka untuk bangkit semula selepas musibah.
“Semoga segala usaha ini diberkati dan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga-keluarga yang diuji,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, yang turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan serta meninjau kawasan kejadian.
Program sumbangan ini merupakan inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sumbangan yang disampaikan merangkumi bantuan kewangan, keperluan asas, serta sokongan psikososial kepada mangsa yang terjejas.
Baca juga: