Wan Saiful Dipecat Serta-Merta Daripada Bersatu

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan tegas terhadap salah seorang pemimpinnya apabila Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi Lembaga Disiplin parti, susulan siasatan berhubung pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli.

Wan Saiful merupakan antara beberapa pemimpin yang dipanggil memberi keterangan pada 8 Oktober lalu, berkaitan dakwaan pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) bagi menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Siasatan turut menyentuh dakwaan wujudnya usaha mengumpul sokongan dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian Bersatu di seluruh negara untuk membincangkan kemungkinan peralihan kepemimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Lembaga Disiplin menegaskan bahawa keputusan pemecatan dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

“Lembaga Disiplin menyeru semua ahli supaya mematuhi Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan demi menjaga nama baik parti,” katanya dalam kenyataan itu pada Selasa.

Lembaga Disiplin parti itu walaubagaimanapun berkata, ahli yang dikenakan tindakan disiplin dibenarkan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.

Anda Mungkin Berminat