SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuka kertas siasatan terhadap seorang wanita berusia 27 tahun yang didakwa tidak menghormati bulan Ramadan selepas melakukan siaran langsung di akaun TikTok miliknya, Ahad lalu.
Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah berkata, wanita itu ditahan di Kuala Pilah pada Selasa dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
Menurut beliau, penelitian terhadap video tular berkenaan mendapati wanita terbabit berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira pukul 6.45 petang.
“Ketika siaran langsung itu, individu berkenaan didapati secara terbuka makan dan minum,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, Mohd Asri menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam, agar lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan Islam.
Tambahnya, JHEAINS komited memastikan segala urusan berkaitan umat Islam di negeri ini dilaksanakan secara tertib, berhikmah dan berpandukan syariat serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, video memaparkan seorang wanita didakwa minum air secara terbuka ketika bersiaran langsung di TikTok tular di media sosial dan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna platform berkenaan.








