PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan sokongan penuh terhadap tatakelola Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilihat bukan sekadar menabur janji tetapi menjadikannya realiti demi kesejahteraan rakyat.
Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim berkata, kepimpinan Kerajaan MADANI jelas mengutamakan rakyat berbanding kepentingan segelintir pihak.
Sebagai bukti, katanya, kerajaan telah bertindak mengembalikan hasil kepada rakyat melalui pelbagai manfaat termasuk pemberian diskaun tol 50 peratus yang memberi kelegaan kepada rakyat untuk pulang ke kampung tanpa beban kos yang tinggi.
Selain itu, pelepasan kebankrapan secara ‘Fast Track’ yang melibatkan lebih 4,000 individu turut membuktikan komitmen kerajaan dalam memberi peluang kedua serta menjaga maruah rakyat.
Ginie berkata, langkah Kerajaan MADANI melindungi rakyat daripada tekanan harga minyak dengan pemberian subsidi berjumlah RM2 bilion sebulan bagi mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter adalah bukti nyata keprihatinan terhadap rakyat.
“Wanita PKR juga percaya bahawa kepimpinan berintegriti bukan sahaja diukur melalui apa yang diberikan tetapi juga melalui kesanggupan untuk berkorban.
“Usaha mengurangkan pembaziran, termasuk penganjuran program sambutan yang berlebihan, mencerminkan keutamaan kerajaan bahawa setiap sen adalah amanah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Wanita PKR turut menegaskan bahawa tadbir urus berhemat dan beramanah membolehkan hasil negara disalurkan semula kepada rakyat secara lebih berkesan, sekali gus memastikan manfaatnya dirasai secara menyeluruh.
“Ini bukan sekadar pentadbiran tetapi satu perjuangan untuk memastikan hasil negara kembali kepada rakyat serta membina Malaysia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
“Wanita PKR akan terus menyokong Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal berhemat, beramanah dan berintegriti,” katanya.








