PETALING JAYA: Kemelut skandal perlombongan Sabah terus memuncak apabila wanita yang dikaitkan sebagai ‘proksi’ kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tampil menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu serangan bermotifkan tohmahan.
Dalam satu video yang kini tular, Sofia Rini Buyong menolak keras dakwaan ahli perniagaan Albert Tei, yang sebelum ini mendakwa dirinya bertindak atas arahan Sofia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sofia menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas.
“Yang telah buat rakaman video kononnya ada arahan daripada saya atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk beliau membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
“Saya menegaskan di sini bahawa saya bukan proksi kepada Shamsul,” katanya.
Terdahulu, Albert Tei yang sedang dibicarakan atas dua pertuduhan memberi rasuah sebelum ini mendakwa Perdana Menteri memberi ‘lampu hijau’ untuk merakam perbualannya dengan beberapa ahli politik Sabah berkaitan lesen penerokaan mineral.
Satu video lain menunjukkan seorang wanita mendakwa dirinya proksi kepada Shamsul, dakwaan yang kini dinafikan sepenuhnya oleh Sofia.
Tei turut mendakwa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul termasuk kerja ubah suai hartanah, cerut premium dan sut khas.
Sofia berkata, beliau tidak pernah berurusan dengan Anwar atau Shamsul mengenai dakwaan Tei.
“Saya juga tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Shamsul berhubung dengan tindakan yang Tei lakukan berhubung dengan proses permohonan beliau untuk mendapatkan lesen perlombongan,” katanya.
Beliau mendakwa kehadirannya di pejabat Tei adalah hasil perancangan ahli perniagaan itu sendiri dan rakaman dibuat tanpa pengetahuannya.
“Saya juga menegaskan bahawa perjumpaan saya dengan Tei tersebut sebenarnya berdurasi lebih daripada satu jam.
“Sepanjang perjumpaan tersebut, Tei berkali-kali mengulangi naratifnya dan beliau telah berkali-kali mendorong saya untuk mengesahkan naratif beliau,” katanya lagi.
Sofia turut menolak dakwaan bahawa wang diberikan kepada Shamsul bagi mendapatkan kembali dana yang disalurkan kepada ahli politik Sabah.
“Tidak pernah ada perbincangan antara Tei, saya dan Shamsul berhubung dengan perkara tersebut,” katanya.
Sofia berkata, beliau telah mendapatkan nasihat guaman dan mahu tindakan diambil terhadap Tei.
“Saya meminta polis untuk membuat siasatan bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap Tei dan dalang di belakangnya,” katanya.
Sementara itu, Shamsul yang meletakkan jawatan turut membuat laporan polis terhadap Tei selepas dikaitkan dengan dakwaan tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan mana-mana pihak.








