Warga asing ditawar hingga RM5,000 untuk kad pengenalan palsu

PARLIMEN: Warga asing kini ditawarkan antara RM4,000 hingga RM5,000 untuk mendapatkan kad pengenalan palsu, menurut Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri bekata, penemuan itu hasil risikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mendapati kebanyakan permintaan datang dari warga asing yang mahu mendapatkan pekerjaan atau menetap di Malaysia.

“JPN kini giat memantau dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai pemantauan dan tindakan penguatkuasaan kerajaan terhadap sindiket pemalsuan kad pengenalan yang menawarkan MyKad pada harga RM4,400 menerusi platform media sosial.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan kini dalam fasa akhir untuk memperkenalkan kad pengenalan struktur baharu bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada yang diperkenalkan sejak 2012.

Menurut Shamsul Anuar, penggantian itu penting untuk memastikan kad pengenalan JPN dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini yang lebih sukar dipalsukan sejajar dengan perkembangan teknologi keselamatan semasa.

“Tindakan ini bertujuan melindungi keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman sindiket pemalsuan,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat