Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM130,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam‘.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang berusia 61 tahun itu menerima panggilan yang mencurigakan pada 24 Mei lalu.
“Suspek yang menyamar sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis di Kuantan tersebut menghubungi mangsa dan berkata dia terlibat dalam kes curi elektrik.
“Namun, mangsa menafikan perkara tersebut, menyatakan bahawa dia tidak mempunyai rumah di kawasan Kuantan,” katanya dalam kenyataan.
Suspek kemudiannya bertindak meminta mangsa untuk menyerahkan maklumat perbankan akaun Alliance bank milik mangsa untuk tujuan siasatan dan dituruti oleh mangsa.
Beberapa hari selepas panggilan telefon tersebut, mangsa telah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang miliknya bernilai RM130,000 telah dipindahkan ke tiga akaun persendirian tanpa disedari mangsa.
Shahrulanuar turut menyatakan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa sekiranya menerima arahan untuk melakukan transaksi yang meragukan.
Baca juga: