LIVERPOOL: Liverpool terselamat daripada aib apabila percubaan Florian Wirtz yang mengenai Nordi Mukiele telah memberikan keputusan seri 1-1 menentang Sunderland di Anfield pada Rabu, selepas Chemsdine Talbi terlebih dahulu meletakkan pasukan pelawat di depan.
Skuad Arne Slot, yang baru sahaja menamatkan rekod buruk lebih 70 tahun dengan kemenangan 2-0 ke atas West Ham United pada Ahad lalu, kini berada di tangga kelapan dengan 22 mata, 11 mata di belakang pendahulu Arsenal, manakala Sunderland di tangga keenam dengan 23 mata.
Sunderland hampir mencatat kemenangan pertama mereka di Anfield sejak 1983 apabila Talbi menjaringkan gol pada minit ke-67 selepas kapten Liverpool, Virgil van Dijk, kehilangan bola dan percubaan Talbi terbias mengenainya lalu menewaskan Alisson.
Namun pemain Jerman, Wirtz, salah satu tonggak utama yang dibawa masuk pada musim panas, meraikan apa yang disangkanya sebagai gol pertama bersama Liverpool pada minit ke-81 untuk menyamakan kedudukan.
Wirtz berjaya melepasi dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan tetapi bola yang terbias mengenai Mukiele akhirnya dikira sebagai gol sendiri.
Wilson Isidor dari Sunderland mensia-siakan peluang keemasan untuk memenangi perlawanan pada masa tambahan apabila beliau berjaya melepasi Alisson, namun percubaannya berjaya diselamatkan di atas garisan oleh Federico Chiesa. – Reuters








