World Central Kitchen terpaksa henti masak, edar makanan buat Gaza kerana kehabisan stok

GAZA: Organisasi bantuan makanan antarabangsa, World Central Kitchen (WCK), mengumumkan pihaknya terpaksa menghentikan operasi memasak dan pengagihan makanan kepada seluruh rakyat di Semenanjung Gaza setelah kehabisan bekalan makanan dan bahan api.

Hal ini susulan berlakunya sekatan ketat yang dikawal oleh Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan.

Memetik laporan media antarabangsa Middle East Eye, sejak 18 bulan yang lalu, WCK telah menyediakan lebih 130 juta hidangan dan mengedarkan kira-kira 26 juta roti kepada penduduk Gaza.

Namun, sejak awal Mac, trak bantuan mereka yang membawa makanan dan bahan api telah tersekat di sempadan bagi menunggu kebenaran untuk memasuki wilayah tersebut.

“Tanpa bahan makanan atau bahan api, dapur kami tidak dapat berfungsi sepenuhnya bagi menyediakan makanan untuk keluarga yang bergantung kepada kami,” kata WCK dalam satu kenyataan.

Organisasi itu menambah bahawa lebih 80 peratus dapur komuniti di Gaza telah kehabisan stok yang dibekalkan oleh WCK.

Situasi ini berlaku di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, dengan lebih dua juta penduduk menghadapi kekurangan makanan yang teruk akibat sekatan berterusan oleh Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensi bantuan lain telah menggesa tindakan segera untuk membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, namun usaha tersebut masih terhalang.

WCK menyatakan bahawa mereka akan terus menyokong keluarga Palestin dengan mengedarkan air minuman bersih di mana dan sebanyak mungkin, tetapi menegaskan bahawa usaha bantuan makanan penuh tidak dapat disambung tanpa kerjasama daripada pihak berkuasa Israel.

Penghentian operasi WCK menambah tekanan kepada penduduk Gaza yang kini bergantung kepada bantuan makanan yang semakin berkurangan, di tengah-tengah konflik yang berterusan dan sekatan yang menyekat kemasukan bantuan asas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat