PETALING JAYA: Khabar angin kencang menyatakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR, dan akan dimuktamad dalam beberapa hari lagi.
Memetik FMT, menurut sumber dalaman UMNO Selangor rundingan sengit sedang berjalan.

“Jika Tengku Zafrul menyertai PKR, pengumuman itu mungkin akan dibuat pada Ahad semasa kongres PKR. Ini bukan keputusan yang tidak penting. Banyak faktor yang perlu diteliti,” kata sumber.
Sumber itu berkata anggota dari kem Tengku Zafrul sedang memuktamadkan rundingan dengan rakan sejawat mereka dalam PKR mereka mengenai perkara itu walaupun sedar risiko mendatang.
Tengku Zafrul merupakan menteri pelaburan, perdagangan dan industri. Beliau juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ketua bahagian Kota Raja parti itu.

Pada Mac, beliau meletakkan jawatan sebagai bendahari UMNO Selangor.
Sumber lain yang rapat dengan perkara itu berkata Tengku Zafrul dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam pentadbiran dan kemajuan ekonomi Selangor.
“Negeri akan mendapat manfaat daripada pengalamannya. Terdapat banyak kemajuan yang dirancang untuk Selangor dan ada dorongan untuk beliau memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negeri,” katanya.
Tengku Zafrul terkenal dengan penglibatannya dalam sektor korporat dan kewangan sebelum menyertai politik.
Beliau yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB, mendapat perhatian negara berikutan pelantikannya sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan yang beliau kekalkan dalam Jemaah Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Baca juga: