KUALA LUMPUR: Kritikan terhadap lawatan kerja Perdana Menteri ke luar negara yang didakwa tidak membuahkan hasil disangkal dengan fakta jelas oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menulis catatan di Facebook, Zafrul menegaskan bahawa ekonomi negara kini sedang berkembang pesat hasil daripada usaha diplomasi pelaburan yang dilaksanakan sejak 2023.
Menurutnya, sebanyak 2,198 projek perkilangan diluluskan antara tahun 2023 hingga suku pertama 2025.
Dengan itu 84.2 peratus atau 1,849 projek telahpun mula dilaksanakan – membuktikan pelaburan bukan hanya diumumkan, tetapi benar-benar direalisasikan.
Antara contoh kejayaan pelaburan hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara termasuk:
✅ Gul Technologies – Pelaburan dari China
Lokasi: Kulim, Kedah
Pelaburan: RM350 juta bagi Fasa Pertama
Peluang pekerjaan: 350 untuk rakyat tempatan
Kerjasama: Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd (KTPC)
Latihan luar negara: 100 juruteknik tempatan akan dihantar ke China
Projek ini merupakan hasil Misi Perdagangan dan Pelaburan ke China pada tahun 2024.
Kilang berteknologi tinggi milik Gul Technologies kini sedang dibina dan dijangka menjadi pemacu utama sektor semikonduktor negara.
✅ EDA – Pelaburan dari Itali
Lokasi: Jasin, Melaka
Pelaburan: RM100 juta
Vendor tempatan: 150 syarikat kecil dan sederhana (PKS)
Kesan limpahan: Menyokong tenaga kerja dan keupayaan industri tempatan
EDA merupakan hasil daripada misi perdagangan ke Itali dan kini dalam fasa pelaksanaan.
Selain mewujudkan pekerjaan langsung, syarikat ini memperkasa rantaian bekalan tempatan menerusi kerjasama dengan vendor Malaysia.
Menurut Tengku Zafrul, kejayaan dua projek ini hanyalah sebahagian kecil daripada banyak lagi pelaburan yang sedang diterjemah ke peringkat pelaksanaan.
Ini membuktikan bahawa lawatan kerja Perdana Menteri ke luar negara adalah satu strategi jangka panjang untuk memacu daya saing Malaysia di peringkat global.
“Siapa yang kata potensi pelaburan tu tak nampak hasilnya, sama ada dia buta mata atau buta hati,” ujarnya.
Kerajaan MADANI dilihat konsisten dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam industri strategik seperti semikonduktor, tenaga bersih, automotif, aeroangkasa dan teknologi digital.
Sebelum ini, barisan pembangkang menyindir bahawa lawatan Anwar ke luar negara tiada hasil sekadar propaganda.
Baca juga: