PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat Malaysia agar hanya menyebarkan maklumat sahih dan tidak terjerat dengan propaganda rejim Israel berhubung Misi Global Sumud Flotilla 2025 yang kini sedang menuju ke Gaza.
Seruan itu dibuat seusai lawatan beliau ke Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM Central Warehouse di Sepang, Selangor.
Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa misi flotilla itu melibatkan delegasi dari 45 negara termasuk 34 aktivis kemanusiaan Malaysia yang sanggup meredah lautan demi menyampaikan solidariti dunia kepada rakyat Palestin yang berdepan sekatan rejim Zionis.
“Saya berkesempatan mendengar sendiri taklimat daripada CEO MAPIM, Datuk Dr Sani Araby, merangkap Ketua Pengarah Command Center bersama Cinta Gaza Malaysia dan Cinta Salam Malaysia serta pasukan koalisi NGO.
“Pusat kawalan ini menjadi nadi komunikasi, respons krisis serta penyampaian naratif rasmi Malaysia dalam misi bersejarah ini,” katanya.
Ahmad Zahid turut berhubung secara langsung dengan 34 delegasi Malaysia yang kini berada di perairan Mediterranean yang diketuai aktivis kemanusiaan Nadir Al-Nuri.
“Walaupun mereka berdepan ancaman serangan dron serta gangguan komunikasi, wajah-wajah mereka tetap memancarkan keberanian.
“Malaysia bangga dengan tekad dan semangat anak bangsa ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia bukan sekadar pemerhati tetapi sebahagian daripada gelombang solidariti global dalam usaha membebaskan Palestin dan menghentikan perang di Gaza.