KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio veteran, Salih Yaacob, 65, menerima kunjungan penuh makna apabila beliau diziarahi menerusi program Ziarah Seni MADANI anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini.
Kunjungan ke kediamannya itu diketuai Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa besar Salih dalam industri seni tanah air.
Turut hadir Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac serta Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS.
Salih yang sudah hampir tujuh tahun tidak dapat bekerja akibat masalah kesihatan, meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan dan FINAS terhadap kebajikan penggiat seni veteran.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana masih ada pihak yang mengambil berat mengenai keadaan saya.
“Sejak beberapa tahun lalu, saya tidak lagi mampu bekerja kerana faktor kesihatan, namun setakat ini rezeki sentiasa ada dan kehidupan masih dapat diteruskan dengan bantuan pelbagai pihak,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa wang simpanan yang dimilikinya telah habis digunakan dan kini bergantung kepada sumbangan untuk menampung keperluan harian.
Sementara itu, Teo Nie Ching berkata, program Ziarah Seni MADANI dilaksanakan bagi membantu meringankan beban penggiat seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan, selain menghargai sumbangan mereka kepada industri kreatif negara.
“Kita berharap bantuan ini dapat memberi semangat kepada beliau untuk terus menjalani kehidupan dengan lebih positif dan selesa,” katanya.
Menurut beliau, FINAS mengambil inisiatif menziarahi Salih selepas mendapat maklumat mengenai keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan termasuk tekanan darah tinggi, masalah penglihatan dan pergerakan yang terbatas.
Program Ziarah Seni MADANI yang diperkenalkan sejak 2023 itu menjadi antara usaha berterusan FINAS dalam memastikan kebajikan penggiat seni veteran terus diberi perhatian.
Sehingga 10 Jun lalu, seramai 36 penggiat seni menerima bantuan dengan sasaran sekurang-kurangnya 100 penerima sepanjang tahun ini.
Secara keseluruhan, seramai 216 penggiat seni telah menerima bantuan sejak 2023 dengan jumlah sumbangan mencecah RM164,000.







