2,000 Anggota ‘National Guard’ Dilepas Dari Tugas di LA Susulan Protes Imigresen

LOS ANGELES: Pentagon telah mengumumkan pelepasan 2,000 anggota California National Guard daripada misi perlindungan persekutuan di Los Angeles, susulan protes besar-besaran terhadap operasi penguatkuasaan imigresen yang dijalankan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump pada awal Jun.

Memetik laporan CNN, anggota tentera tersebut sebelum ini ditugaskan untuk melindungi bangunan dan kakitangan persekutuan termasuk pusat tahanan dan ejen imigresen, selepas protes yang bermula pada 6 Jun bertukar tegang dengan insiden rusuhan, pembakaran kenderaan dan penggunaan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan.

“Terima kasih kepada anggota tentera kita yang tampil menyahut panggilan tugas, keadaan huru-hara di Los Angeles kini semakin reda,” kata Jurucakap Pentagon, Sean Parnell.

Pengerahan anggota tentera ini mencetuskan pertikaian antara kerajaan persekutuan dan pihak berkuasa negeri termasuk Gabenor California Gavin Newsom dan Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass, yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak perlu dan berisiko meningkatkan ketegangan.

Sebahagian anggota yang masih berada di Los Angeles akan terus menjalankan tugas perlindungan, manakala sebahagian lagi akan kembali menyertai operasi lain seperti pencegahan kebakaran hutan melalui unit khas Joint Task Force Rattlesnake.

Anda Mungkin Berminat