Sekolah boleh anjur hari sukan di Stadium Bukit Jalil secara percuma – Hannah Yeoh

Bersempena ulang tahun ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang sebelum ini merupakan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya bakal menjadi ‘padang baharu’ buat pelajar sekolah.

Menurut Hannah, SNBJ boleh diguna secara percuma bermula Oktober ini khusus untuk penganjuran hari sukan dan tawaran istimewa itu diberi sepanjang tempoh dua tahun ini dan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pada 17 Julai lepas

Bagaimanapun jelasnya kegunaan secara percuma untuk sambutan hari sukan sekolah itu tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan.

“Ini selaras dengan pengumuman sebelum ini bahawa kita nak fokus olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah. Saya mahu murid rasai pengalaman berlari 100 meter di SNBJ kerana ia mungkin beri inspirasi kepada mereka untuk menjadi atlet,” katanya.

Hannah berkata selain SNBJ, PSM turut memberi tawaran penggunaan secara percuma dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah.

“Sebelum ini, pihak sekoleh perlu bayar (kos sewa) dengan kadar diskaun jika mahu gunakan stadium, jadi selepas ini mereka dijemput membuat tempahan dengan PSM yang dijangka dibuka bermula bulan depan,”tambahnya.

Sementara itu, Hannah berkata PSM selaku badan yang menguruskan KLSC atau sebelum ini dikenali Kompleks Sukan Negara, membuktikan peranannya sebagai badan pengelola stadium yang efisyen termasuk kejayaan menganjurkan beberapa acara bertaraf antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 2001 dan Sukan SEA 2017.

Menurutnya KLSC yang diuruskan PSM diharap dapat terus memantapkan aspek tadbir urus dan pengurusan stadium dalam menjadikannya venue pilihan utama penganjur acara dalam dan luar negara.

Anda Mungkin Berminat