Uncategorized

Isu 3R: Polis buka dua kertas siasatan terhadap Pengerusi PN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap Tan Sri Mahiaddin Yassin susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis akan memanggil Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada 12 September ini untuk diambil keterangan berhubung siasatan tersebut.

“Ada dua IP (kertas siasatan) dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan beliau (berhubung) ‘fatwa’ dan kenyataan berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa.

“Jadi ada dua IP dibuka dan kita akan panggil beliau pada 12 September untuk ambil keterangan,” katanya seperti dilapor Bernama, hari ini.

Ayob Khan berkata, buat masa ini, tiada kertas siasatan baharu dibuka melibatkan pemimpin parti politik lain berhubung isu 3R.

Terdahulu, Mahiaddin didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’ ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di sini, ketika kempen PRK Parlimen Pulai.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang mendakwa parti orang Melayu dilihat sudah hilang kuasa, selain mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah tidak faham masalah orang Melayu.

Pada 4 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close