Jenayah seksual, dadah antara kesalahan lebih 2,000 kes pesalah juvana

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengatakan sebanyak 2,162 kes membabitkan kesalahan dalam kalangan kanak-kanak didaftarkan di Mahkamah Sesyen dan Majistret tahun ini.

Dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia itu, Azalina turut menjelaskan kes yang didaftarkan antara 1 Januari hingga 30 September lalu itu membabitkan kesalahan dadah, jenayah seksual, kecurian dan rompak.

“Kes ini meliputi kesalahan dadah di bawah seksyen 12 dan 15 Akta 234, jenayah seksual (seksyen 354 dan 356 Akta 574) dan kesalahan curi atau rompak (seksyen 378, 380 dan 390 Akta 574).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,203 kes diberikan perintah di bawah seksyen 91 Akta 611 manakala baki 959 kes masih di peringkat sebutan atau pengurusan kes,” katanya.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Young Syefura Othman berhubung statistik kesalahan jenayah kanak-kanak dan bilangan kes dijatuhkan hukuman tahun ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh sama, sebanyak enam kes membabitkan kesalahan jenayah dalam kalangan kanak-kanak didaftarkan di Mahkamah Tinggi.

“Daripada jumlah itu, satu kes diberikan perintah di bawah seksyen 91 Akta 611 manakala baki lima kes masih di peringkat sebutan atau pengurusan kes,” jelasnya.

Kes meliputi kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Anda Mungkin Berminat