Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru, golongan muda supaya mempersiapkan diri mengangkat darjat martabat ummah menerusi kekuatan akidah, akhlak dan sahsiah.
Katanya, ia juga meliputi keterampilan disiplin dan ilmu dalam pelbagai bidang kerana apa yang berlaku pada rakyat Palestin perlu diambil iktibar.
“Bila hilang kemanusiaan tentunya tidak terangkat insaniah dan ini cabaran bagi kita dan pemimpin-pemimpin Islam yang prihatin.
“Saya lihat memang terkesan sekali dengan apa yang berlaku kerana kekuatan ekonomi teknologi bukan di tangan kita,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra bersama 1,200 mahasiswa dan rakyat Malaysia di Mesir.
Anwar turut menegaskan, serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza perlu dihentikan segera kerana ia lebih membawa banyak kehancuran dan kemusnahan terutamanya menjejaskan golongan wanita dan kanak-kanak.
Keengganan negara-negara barat untuk menjamin penyaluran makanan dan ubat-ubatan di Gaza juga membuatkan beliau bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara Islam bagi meredakan tekanan terhadap rakyat Palestin.