KPKT mahu perkenal konsep ‘bina dan jual’ elak projek terbengkalai

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk memperkenalkan konsep ‘bina dan kemudian jual’ untuk projek pembangunan kediaman pada masa akan datang.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2023 di Kuala Lumpur berkata, kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) bagi membincangkan cadangan itu.

“Pilihan yang paling baik adalah bina dan kemudian jual, bukan jual dan kemudian bina.

“Bulan depan saya akan berbincang dengan Institut REHDA apakah insentif yang mereka mahukan supaya pemaju perumahan boleh melaksanakan model bina dan jual.

“Sekiranya model baharu ini diterima oleh pemain industri, maka pada masa akan datang, tidak akan ada projek terbengkalai lagi kerana pemaju hanya dibenarkan jual sebaik projek sudah siap,” jelasnya.

Mengulas lanjut Kor Ming berkata, cadangan pelaksanaan model bina dan jual itu adalah susulan daripada kejayaan pasukan tugas-tugas khas projek terbengkalai KPKT yang dipengerusikan sendiri oleh Timbalannya, Akmal Nasir.

“Setakat Ogos tahun ini KPKT berjaya menyelamatkan 256 projek bernilai RM23.37 bilion membabitkan 28,863 pembeli.

“Tetapi bagaimanapun untuk pastikan tidak ada lagi projek terbengkalai, model bina dan jual adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihaknya tidak mahu melaksana cadangan tersebut secara tergesa-gesa tanpa kajian lengkap.

Anda Mungkin Berminat