Negeri

KPDN rampas mesin bungkus beras di Kedah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas sebuah mesin pembungkus beras dalam Op Beras Putih Tempatan di sebuah kilang beras di Mergong di Alor Setar pada Isnin.

Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata, operasi bermula pukul 8.30 pagi itu mendapati, mesin yang digunakan untuk membungkus beras disyaki tidak ditentusahkan.

“Sitaan dianggar bernilai RM35,000 manakala kesalahan disiasat mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Jika disabit kesalahan mengikut akta sama, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pemeriksaan Task Force Khas Bersepadu operasi itu membabitkan agensi seperti Kawalselia Beras dan Padi (KPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Dalam pemeriksaan berasingan, Affendi berkata, sebuah kilang beras di Simpang Empat turut dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai permit menyimpan barang kawalan, diesel.

Ketika pemeriksaan dilakukan, katanya, anggota penguat kuasa KPDN turut menemui sebuah ‘skid tank’ mengandungi diesel dalam anggaran 6,000 liter dan 3,000 liter di dalam tiga unit tangki.

“Nilai rampasan bagi diesel dianggar RM28,800 manakala keseluruhan rampasan dianggar RM29,400.

“Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah akta sama, boleh dikenakan penalti iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana pelanggaran Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close