Negeri

Dakwa gigit telinga abang ipar hingga putus, lelaki dirujuk psikiatri

Seorang bekas penuntut universiti didakwa di Mahkamah Majistret Muar, Johor pada Khamis atas tuduhan menggigit telinga abang iparnya hingga putus, diarahkan menjalani rawatan psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar tertuduh menjalani rawatan itu di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru. Johor.

Tertuduh, Tay Kim Meng, 28, yang kini bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, namun tidak pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap abang iparnya berusia 41 tahun di sebuah kedai alat ganti kenderaan di Jalan Sakeh, di sini, pada pukul 1.25 petang, 30 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh naik angin selepas ahli keluarganya mahu menghantarnya menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan mental di Kuala Lumpur.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh tidak berpuas hati dan menolak permintaan mangsa lalu menggigit telinganya hingga putus.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

Kejadian itu juga menyebabkan abang ipar tertuduh dihantar ke Hospital Sultanah Pakar Fatimah di sini, untuk menjalani rawatan.

Mahkamah juga menetapkan 30 November ini sebagai sebutan semula kes serta serahan laporan perubatan.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close