Kapal selam AS dengan peluru balastik tiba di perairan Asia Barat

Sebuah kapal selam kelas Ohio milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tiba di perairan Asia Barat dalam keadaan semakin memuncak antara Gaza dan Israel.

Komando Pusat Tentera AS (CENTCOM) yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat (AS), mengesahkan perkara itu dalam hantaran X.

Menurut hantaran pada pukul 5 pagi waktu Malaysia pada Ahad, sebuah kapal selam kelas Ohio tiba di kawasan di bawah kawal selia Komando Pusat AS.

Kapal selam peluru berpandu Ohio itu dilengkapi peluru berpandu balistik dan kepala peledak nuklear selain lengkap keupayaan komunikasi canggih.

Sejak konflik yang tercetus 7 Oktober lalu, AS mengerahkan dua kapal pengangkut pesawat ke rantau itu.

Terdahulu, Dewan Perwakilan AS pada minggu lalu meluluskan cadangan Republikan untuk memberikan bantuan ketenteraan berjumlah AS$14.5 bilion (RM67.66 bilion) kepada Israel.

Bantuan itu akan menggunakan dana dipotong daripada Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri.

Ini termasuk AS$4 bilion (RM18.66 bilion) untuk memperkasa sistem pertahanan Iron Dome Israel serta sistem pertahanan peluru berpandu Sling David selain peralatan ketenteraan dari AS.

Kapal selam berkuasa nuklear kelas Ohio adalah kapal selam terbesar yang pernah dibina untuk Tentera Laut AS.

Ia kapal selam ketiga terbesar di dunia, selepas kelas Taufan 48,000 tan dan kelas Borei 24,000 tan, kedua-duanya milik Tentera Laut Russia.

Kapal selam kelas Ohio berupaya membawa sama banyak peluru berpandu seperti kelas Borei atau kelas Taufan yang penggunaannya sudah dilupuskan baru-baru ini. – Agensi